cerpen 12 : Milik Siapakah Hati Ini



Aku hanya mengertap bibir sebaik saja abah menghabiskan bicara. Geram sungguh aku ! Suka sangat nak bagitahu dekat Encik Imran pasal Adam. Semua silap Adam abah nak ngadu tapi kalau masuk bab Rafiqi, abah langsung tak nampak salah dia. Hish, tak faham aku ! Apa entah yang abah tak suka sangat dekat si Adam tu. Kesian dia. Abah tak sedar ke selama ni Rafiqi yang cari pasal dengan aku sedangkan Adam tu baik gila dengan aku.

"Apa abah ni ? Kalau salah Adam tu, abah nampak aje ! Kalau si mamat tengkorak lagi sekor  tu abah buat tak tahu aje !"marahku dengan wajah bengang. Abah hanya buat muka tak ada perasaan. Geramnya aku ! Sampai hati abah buat macam ni.

"Dah memang Adam tu kaki rempit. Tengok tu, suka hati dia aje bawa motor macam jalan tu dia punya. Cuba kau tengok si Rafiqi tu, baik aje,"pergh ! Ni yang gua nyirap ni bila bapak aku dok memuji si mamat tengkorak tu.

"Baik ? Kalau dia baik, dia tak akan asyik cari gaduh dengan orang lah !"

"Bukan dia yang cari gaduh dengan kau. Kau tu yang tak boleh nak kena tegur sikit. Perangai macam jantan, memang patut dia tegur kau !"ei, ni memang sah abah ajak aku berdebat sampai subuh !

"Suka hati oranglah nak perangai macam mana pun. Yang si tengkorak tu menyemak apa kes ? Bukannya orang kacau hidup dia pun !"marahku. Abah masih menayang wajah selamba.

"Dia bukan kacau hidup kau tapi nasihatkan kau !"abah masih lagi menyokong lelaki yang telah aku anggap ibarat musuh itu. Dalam diam aku mencebik ! Nak nasihatkan aku konon, perangai mamat tu pun tak semenggah. Awek keliling pinggang ada hati nak nasihatkan aku ! Boleh jalan lah !

"Nasihat ? Abah bergurau ke apa ? Abah ingat dia tu baik sangat ke nak jadi pakar kaunseling ? Dia tu lagi teruklah daripada orang ! Lagipun dia tu siapa nak nasihatkan orang ?"sengaja aku memburukkan lagi mamat tengkorak tu. Kalau tak, abah asyik nak menangkan dia aje.

"Dia tu bakal suami kau !"bersama ayat itu, abah berlalu pergi. Aku tercengang-cengang. Gila ! Tenggelam tujuh lautan pun aku tak nak dengan dia !

* * * * * * * * * * *

Aku dan Adam ralit berbual di beranda rumahku. Sesekali kami tergelak. Adam memang suka berkongsi cerita denganku dan disebabkan itu aku menjadi rapat dengannya malah aku masih ingat lagi ketika aku masih bersekolah. Setiap kali aku ternampak dia mesti kami berbalas senyum dan kadang kala berbual bersama. Apabila rakan-rakan aku tanya siapa dia, tanpa segan silu di hadapan Adam aku katakan bahawa dia bakal suami aku. Adam hanya tergelak. Ah, tapi itu dulu ! Cerita di zaman persekolahan.

"Adam, tolonglah aku..."rengekku lalu menyerahkan laptop milikku kepadanya. Adam hanya ketawa lalu mengambil laptop di tanganku dan menyambung game yang aku main.

Dalam ralit kami melayan game, tiba-tiba terdengar sayup-sayup bunyi enjin motosikal. Apabila aku berpaling, terus aku mencebik. Apa benda si mamat tengkorak ni nak agaknya ?

"Aku balik dulu lah,"seraya itu Adam mengangkat punggung dan berlalu meninggalkan aku. Aku masih lagi terpinga-pinga. Sebaik saja Adam hilang daripada pandangan, Rafiqi pantas menghampiriku. Aku mendengus kuat dan tanpa mempedulikannya aku menghadap game di laptop.

"Hai.  Buat apa tu ?"soalan Rafiqi itu aku biarkan sepi. Sakit hati aje aku layan.

"Amboi, sombong ! Tadi bukan main lagi melayan si Adam tu. Kau sedar tak aku ni siapa  dan budak tu siapa ?"tegang suara Rafiqi dan aku masih menyepi. Semerta lenganku ditariknya kuat dan memaksa aku memandangnya. Aku hanya menurut tanpa perasaan.

"Kau tahu tak, depan kau ni bakal suami kau dan budak tu tak ada apa-apa kaitan dengan kau. Dia tu cuma pencacai,"seusai Rafiqi meluahkan kata, aku terus menamparnya sekuat hati. Dia terkedu seketika.

"Sekali lagi kau hina dia, siaplah ! Dan, jangan nak berangan jadi suami aku kalau perangai kau tu langsung tak ada ciri-ciri yang aku harapkan !"bersama bicara itu aku melarikan diri ke dalam rumah. Sakit sungguh hati aku mendengar bicara lelaki itu. Aku paling benci kalau orang memburukkan Adam di hadapanku.
Sayup-sayup aku mendengar suara abah dan Rafiqi berbual sakan. Ah, sakit hati aku ! Entah apa lagi yang mamat tu sogokkan pada abah, aku sendiri tidak tahu. Abah pun mudah sangat percaya dengan kata-kata mamat tak guna tu. Bencinya !

* * * * * * * * * * *

Aku melangkah turun daripada kereta dengan senyuman di bibir. Sudah lama rasanya aku tidak menjengah rumah mak cik aku ni. Ketika aku tiba, hujan sudah mula menitis. Tanpa aku pinta, tiba-tiba ada seseorang yang menghampiriku lalu memayungi diriku sehingga tiba di tempat yang teduh. Aku terkedu sebaik anak mata kami bertaut. Handsomenya ! Bisik hati nakalku. Tanpa mempedulikan renungan lelaki itu, aku melangkah masuk ke dalam rumah dan bersalam dengan saudara maraku yang lain.

"Ei, cantiknya anak saudara mak ngah ni !"puji mak ngah dan aku hanya mengekeh. Sungguh aku rapat dengan mak cik aku yang seorang ni.

"Amboi, perli ke apa ni mak ngah ?"ucapku lalu menepuk tangan mak ngah yang masih tergelak.

"Comel sungguh anak saudara mak usu ni,"adehh ! Kena lagi. Aku hanya ketawa menahan malu apabila aku rasakan banyak mata-mata yang memandang ke arahku tika itu. Mesti merah muka aku !

"Tahu tak apa. Tadi ingatkan awek mana yang datang,"aku mencari dari mana datangnya suara itu dan seketika aku terpandangkan lelaki yang memayungkan aku tadi. Dia sedang santai berdiri di tepi pintu. Aku hanya ketawa meski hatiku sudah berdegup kencang. Semua yang ada di situ turut ketawa. Suka ye mereka kenakan aku !

"Apa duduk dekat situ ? Masuklah dulu. Jangan layan acik Ikmal tu,"ujar mak ngah dan aku hanya menurut. Hatiku berdegup apabila melintas di hadapan lelaki bernama Ikmal itu. Sekali lagi pandangan kami bertaut dan dia melemparkan senyuman. Aku hanya membalasnya. Masuk saja ke dalam rumah, semuanya sudah sibuk berbual sakan. Mak ngah pula sudah menghilang ke dapur dan akhirnya aku duduk di ruang tengah rumah itu yang agak sepi. Pantas telefon bimbit aku keluarkan dan mula menaip mesej buat sahabat jauhku dan merangkap kaunselingku, Asyraf.

"Hai,"sapa satu suara saat aku sibuk berbalas pesanan bersama Asyraf. Aku mengangkat wajah dan lelaki bernama Ikmal itu sudah berdiri di hadapanku bersama senyuman.

"Hai,"balasku dan kemudian tersenyum juga.

"Boleh duduk sini ?"soal Ikmal dan aku hanya mengangguk lalu mengengsot sedikit untuk memberinya ruang untuk duduk. Seketika kemudian suasana sepi antara kami. Masing-masing membisu. Aku kembali ralit dengan telefon di tangan dan sesekali aku ketawa kecil apabila mendapat pesanan daripada Asyraf. Ikmal hanya memandang.

"Lama tak datang sini ?"lelaki itu memulakan bicara. Aku kerlingnya sekilas.

"Bukan kita tak nak datang, tapi tahu aje kan abah dengan ibu. Sibuk aje manjang. Ni pun nasib baik mak ngah dah inform awal-awal,"balasku bersahaja. Lelaki itu hanya mengangguk kecil.

"Tu lah. Asyik sibuk aje kak long dengan abang long sampai tak ada masa nak menjengah kami dekat sini. Eh, Irah dah makan ?"soal Ikmal lagi. Aku mengangguk.

"Dah, tapi kalau cik Ikmal nak ajak makan lagi pon boleh jugak,"balasku lalu tersengih nakal. Lelaki itu kemudian ketawa melihat aksiku itu.

"Jom ke dapur. Mak ngah pun ada dekat dapur tu,"ajak lelaki itu lagi. Aku terus bangkit daripada duduk.

"Jom. Cik Ikmal kerja apa ? Tak kerja ke hari ni ? Dulu kalau kita datang sini, tak pernah nampak acik,"soalku lalu menghayun langkah menuju ke dapur.

"Peguam. Tu yang sibuk sikit lagi-lagi kalau tengah ada kes. Hari ni acik ambil cuti sebab penat sangat dah. Tapi untung juga acik ambil cuti hari ni sebab dapat jumpa dengan anak saudara acik yang melecun ni,"usik Ikmal lagi dan aku hanya mengekeh.

"Amboi, acik nak perli kita juga ke macam mak ngah dengan mak usu ? Benci lah..."aku berpura merajuk dan Ikmal hanya ketawa.

"Lah dekat sini budak berdua ni. Anak saudara mak ngah ni nak makan ke ? Ikmal, hidangkanlah lauk tu,"entah bila mak ngah muncul, sedar-sedar dia dah membebel.

"Eh tak payah. Biar kita buatlah. Lagipun mesti cik Ikmal tak biasa buat kan,"aku menegah pantas.

"Memang pun. Kerja dia makan tidur je. Ikmal teman Irah ye, akak nak tengok yang lain dekat depan tu. Jangan nakal-nakal,"usik mak ngah lalu mencubit lengan adiknya itu. Aku hanya ketawa.

"Acik, kita boleh buat lah !"tegahku apabila aku lihat Ikmal sudah bangkit daripada duduk untuk menghidangkan makanan buatku.

"Tak apalah. Sekali-sekala layan Irah. Lagipun acik kena practise dari sekarang, kalau tak bila lagi,"balas Ikmal sambil tersenyum nakal. Dah kenapa pak cik aku ni ?

"Hah ? Tak faham,"ujarku sambil berkerut dahi.

"Tak ada apa,"balas Ikmal dan meneruskan kerjanya. Kemudian dia duduk kembali di sisiku lalu menyendukkan nasi buatku. Aku ajak dia makan sekali, katanya dah kenyang. Akhirnya dia hanya memerhati aku makan sambil sesekali kami berbual.

* * * * * * * * * * *

"Seronoknya orang tu pergi rumah mak cik dia tapi langsung tak cakap dengan kita,"entah bila Adam muncul, langsung aku tidak sedar.

"Hei ! Bila kau datang ni ? Tak perasan pun ?"soalku lalu mempelawa Adam duduk di bawah pokok bersamaku.

"Baru aje. Mana nak perasan aku datang dari tadi khayal main mesej. Mesej dengan siapa ? Pakwe ke ?"soal Adam lalu memetik buah rambutan yang sedang bergayut dipokok.

"Pakwe ? Mana ada. Lagipun kan aku dah ada suami, mana boleh ada pakwe-pakwe,"balasku lalu ketawa. Adam menjeling aku sekilas.

"Siapa suami kau ?"semerta aku tersenyum nakal.

"Kaulah. Kan dari dulu kau jadi suami aku !"gurauku. Adam hanya mencebik.

"Ceh, tak habis-habis. Kalau Rafiqi tahu, mati aku kena belasah tau. Kau bukan tak tahu, dia tu kan bakal suami kau yang sah,"terus masam wajahku sebaik terdengar nama Rafiqi di sebut.

"Bencilah ! Aku tak suka dia lah. Dah lah merajuk dengan kau ! Jangan cakap dengan aku lagi,"aku tarik muka masam dan memandang ke arah lain.

"Aik, 'isteri' aku merajuk ke ? Tak baik tau ! Kata nak jadi isteri mithali,"ujar Adam dan semerta aku ketawa. Sejak bila lah aku cakap nak jadi isteri mithali. Namun begitu, rajukku terus mati apabila Adam berbicara sebegitu.

"Ei, ngadalah kau !"serentak itu menumbuk tangan Adam perlahan. Dia hanya ketawa.

"Apa ? Dah kau yang nak jadi isteri aku, aku on je. Dah, jangan merajuk lagi ye sayang,"amboi ! Kasanova betul. Tapi aku langsung tidak ambil serious kerana kami memang suka bergurau begitu.

"Okay ! Sayang tak merajuk dah,"balasku lalu mengekeh. Adam juga begitu lalu ditariknya hujung tudungku perlahan dan aku pantas menepis tangannya.

"Ehemm..."terus mati tawa aku dan Adam apabila suara Rafiqi menerjah gegendang telinga. Aku menjelingnya pantas lalu duduk dekat dengan Adam.

"Seronok nampak ? Tak nak share dengan aku ke ?"ucap Rafiqi lalu duduk berhadapan denganku. Aku hanya menjelingnya tanda menyampah.

"Apa kau buat dekat sini ?"Adam bertanya pada Rafiqi tegas. Rafiqi memandang tajam ke arah Adam.

"Jumpa bakal isteri aku. Aku nak bawa dia cari barang hantaran. Kau pula buat apa dekat sini ? Nak goda bakal isteri aku ?"balas Rafiqi lantang. Aku masih menyepi sambil memegang lengan Adam yang berlapik.

"Perasan ! Dia tak nak dengan kau lah,"balas Adam bersahaja. Rafiqi pantas ketawa.

"Dia tak nak tapi aku nak. Lagipun bapa dia dah setuju aku kahwin dengan dia. So, kau jangan nak berangan nak rampas dia daripada aku. Dia milik aku !"ucap Rafiqi lalu menolak kasar bahu Adam.

"Jangan berani kau sentuh dia !"marahku lalu memandang Rafiqi tajam. Lelaki itu hanya tersenyum sinis.

"Amboi garangnya sayang abang ni. Sayang, jom keluar. Abang dah cakap dengan abah tadi,"aku hanya mencebik mendengar bicara Rafiqi itu.

"Jangan harap lah ! Tak ingin aku,"balasku lantang. Aku lihat air muka Rafiqi sedikit berubah.

"Irah, kau jangan degil ! Lepaskan budak ni dan ikut aku sekarang,"seraya itu tanganku direntap Rafiqi. Aku cuba melepaskannya namun tidak berjaya.

"Oi, jangan nak berkasar dengan dia !"marah Adam lalu berdiri. Rafiqi langsung tidak ambil peduli lalu menarikku masuk ke dalam kereta.

"Mind your own business,"seraya itu Rafiqi menghidupkan enjin kereta sebelum kereta meluncur laju. Aku hanya mengertap bibir geram dengan tingkah Rafiqi itu. Aku mendengus geram.

* * * * * * * * * * *

Aku tercengang-cengang apabila mak ngah berbicara begitu di hadapan ibu dan abah. Apa maksud dia ?

"Long, sebenarnya angah ada hajat datang sini. Si Ikmal tu, dia berkenan sangat dekat Irah. Sebab tu angah datang nak merisik Irah untuk dia,"ucap mak ngah dengan wajah mengharap. Aku hanya membeku. Aku keliru untuk membuat keputusan. Semuanya aku serahkan pada abah.

"Sebenarnya along pon tak tahu nak cakap macam mana sebab dah ada yang berkenan dengan Irah cuma dia belum masuk merisik macam ni. Along pun tak boleh nak buat keputusan,"balas abah kendur sedikit suaranya. Mendengar saja bicara abah itu, aku terus tersentak. Aku faham siapa yang abah maksudkan.

"Irah dah ada orang lain mak ngah. Sorry,"tanpa berfikir panjang, aku terus bersuara. Semua mata tertumpu padaku saat itu. Aku hanya menunduk. Tidak sanggup rasanya untuk aku bertentang mata dengan mereka semua.

"Irah ! Apa semua ni ?"terkejutku apabila ada satu suara yang agak lali denganku belakangan ini menjengah cuping telinga. Pantas aku memandang ke arah muka pintu dan semerta raut wajah Rafiqi terlayar di situ. Seketika kemudian, wajah Adam pula menghiasi pandangan. Aku terdiam seketika.

Seketika kemudian, aku menghampiri Adam dan berdiri di sisinya untuk meminjam kekuatan. Aku terasa ingin menangis tika itu. Tiba-tiba Adam mengusap kepalaku.

"Syyy... jangan sedih sayang. Tak comel tau muka isteri abang ni,"usik Adam lalu tersenyum. Aku memandang tepat ke dalam anak matanya yang redup itu. Semua yang berada di situ terpempan mendengar bicara Adam itu.

"Isteri ?"soal Rafiqi lantang. Semerta aku memandangnya.

"Hari ni biar Irah selesaikan segalanya. Sebelum itu, Irah mohon maaf sekiranya keputusan Irah akan melukakan hati semua,"aku sepi seketika lalu mengerling setiap wajah di hadapan mata. Ibu, abah, mak ngah, Rafiqi dan juga Adam. Di wajah mereka jelas memohon pengertian. Aku menarik nafas panjang.

"Rafiqi, maafkan aku. Sejak daripada dulu lagi kau bukan pilihan aku. Bukan aku tidak pernah mencuba untuk mencintai kau, tetapi aku tak mampu. Tak mampu untuk meletakkan diri kau dalam tempat istimewa dalam hati aku. Maafkan aku !"ujarku sambil memandang wajah Rafiqi memohon dia mengerti perasaanku. Bibirnya bergetar seolah ingin mengujarkan sesuatu namun sekejapan dia berlalu pergi tanpa pamitan. Aku hanya membiarkan kerana ada lagi perkara yang belum lunas.

"Mak ngah, terima kasih kerana merisik Irah bagi pihak acik Ikmal. Tapi, maafkan Irah sebab tak boleh terima acik sebab dia pak cik Irah meski kita sekadar saudara jauh. Maafkan Irah sangat-sangat sebab Irah dah anggap acik Ikmal sebagai acik kandung Irah sendiri jadi mustahil untuk Irah terima. Mak cik anggap saja kata-kata Irah sebenatar tadi sebagai gurauan. Maafkan Irah !"ucapku lalu mengucup tangan mak ngah. Mak ngah mengusap kepalaku lalu tersenyum.

"Tak apa Irah, mak ngah faham dan mak ngah yakin, Ikmal mesti faham juga,"perlahan bicara mak ngah. Aku hanya mengangguk kecil. Seketika kemudian, aku memandang ke arah ibu dan abah sebelum akhirnya aku memandang Adam yang setia di muka pintu.

"Ibu, abah hari ini Irah ada satu permintaan. Izinkan Irah untuk menjadikan Adam sebagai suami Irah yang sah. Irah mohon restu daripada abah dan ibu sebab Irah memang cintakan Adam sejak dulu lagi. Sejak kami bersekolah dan Irah juga pernah mengatakan pada kawan-kawan Irah yang Adam adalah bakal suami Irah dan Adam, masa aku cakap tu, aku ikhlas ! Sampai sekarang aku masih anggap kau sebagai bakal suami aku dan imam aku sampai bila-bila. Sudi tak kau menjadi imam aku dan layakkah aku untuk mengisi tempat teristimewa dalam hati kau?"tanpa silu aku melamar Adam di hadapan abah, ibu dan mak ngah. Adam terpana mendengar kata-kataku. Entah di mana rasa maluku tika itu, laju saja mulutku meluahkan bicara.

"Irah, aku terima kau sebagai makmum aku sampai mati dan aku juga telah letakkan kau pada tempat teristimewa dalam hati kerana kau memang layak dan berhak. Terima kasih kerana melamar aku walaupun aku rasa agak pelik dan aku terima lamaranmu sayang,"balas Adam lalu berdiri di hadapanku dan cuba menarik tanganku.

"Aip, belum sah ! Adam, hantar rombongan meminang dulu lepas tu bernikah baru pak cik beri kebenaran untuk sentuh Irah. Selagi belum bernikah, jangan harap !"tegur abah berbaur usikan. Ibu dan mak ngah hanya tersenyum.

"Okay ! Sekarang juga saya suruh emak ayah saya datang meminang Irah,"bersungguh kata Adam membuatkan aku termalu sendiri. Mereka yang berada di situ hanya ketawa.

* * * * * * * * * * *

Aku mengerling ke arah Adam yang segak bergaya di sisi. Sesekali aku tersenyum. Hari ini merupakan hari bahagia kami kerana akhirnya aku menjadi isteri Adam yang sebenar. Bukan sekadar isteri pada ucapan kata tetapi aku sudah sah menjadi miliknya.

Kemudian aku melemparkan pandangan ke arah tetamu yang hadir dan sekali lagi aku tersenyum. Di sudut khemah, terlayar sepasang suami isteri yang sedang duduk berbual sakan sambil si isteri mengusap perut yang agak memboyot. Siapa lagi kalau bukan acik Ikmal bersama isterinya acik Jazmin. Kandungan acik Jazmin sudah sarat benar namun mereka gagahkan juga diri untuk hadir ke majlis pernikahan aku dan Adam meski sudah berkali-kali aku menegah.

Seketika kemudian aku memandang pula ke tengah khemah. Jelas terpamer wajah Rafiqi dan Marliana. Dengarnya Marliana itu tunang Rafiqi dan dengarnya juga Rafiqi dah tinggalkan perangai buaya daratnya sejak mengenali Marliana. Alhamdulillah, akhirnya berubah juga dia. Aku senang mendengarnya.

Daripada kejauhan, aku terpandang kelibat Asyraf bersama dulang di tangan. Sibuk benar pakar kaunseling aku tu. Tak sangka pula aku dia akan hadir ke majlis perkahwinanku dan sedia memberikan sumbangan tenaga. Aku tidak percaya Asyraf hadir dua hari lebih awal dan menolong dalam persiapan majlis perkahwinanku. Sungguh dia kawan aku dunia akhirat. Dalam pada aku memerhatikan tetamu yang hadir, tiba-tiba suasana yang tadinya bising dengan suara orang berbual kini bertukar kecoh dengan suara orang meminta tolong.

"Tolong panggil ambulans ! Jazmin nak bersalin ni,"jerit acik Ikmal kelam kabut. Aku dan Adam yang sedang duduk di atas pelamin bergegas turun untuk membantu. Acik Jazmin terus termengah-mengah sambil nafasnya jelas tidak teratur.

"Angkat dia masuk kereta. Tak sempat nak tunggu ambulans ni !"jerit abah memberi arahan. Acik Ikmal bergegas mencempung tubuh isterinya dan di bawa ke dalam kereta Asyraf yang kebetulan berada berdekatan dengan khemah jamuan.

"Asyraf, kunci kereta mana ? Jazmin dah nak beranak ni !"jerit mak ngah kepada Asyraf. Asyraf yang sedang mengangkat termos nasi sudah tercengang-cengang kerana tiba-tiba disergah begitu.

"Asyraf cepat bagi kunci kereta. Jazmin dah pecah air ketuban ni !"jerit mak ngah lagi ! Dengan kelam kabut Asyraf menghulurkan kunci keretanya. Wajahnya jelas kehairanan. Akhirnya acik Jazmin selamat dibawa ke hospital dan diiringi dengan empat buah kereta. Macam hantar pengantin pula. Aku dan Adam turut tidak ketinggalan untuk menyemak di hospital. Entah apa yang berlaku di rumah, aku sendiri tidak tahu. Pasti tetamu hairan bila datang majlis perkahwinan pengantinnya tiada. Tapi aku tak peduli, aku nak tahu juga keadaan acik Jazmin.

Setelah beberapa minit menunggu, akhrinya acik Ikmal keluar daripada bilik bersalin bersama senyuman mekar di bibir.

"Ikmal dapat baby girl !"serentak itu semua bersorak gembira termasuk aku dan Adam.

"Tahniah bro. Anyway, jangan lupa kereta aku tu kau kena cuci sebab kotor dengan air ketuban Jazmin. Habislah kereta kesayangan aku,"omel Asyraf tiba-tiba. Mereka yang berada di situ  hanya ketawa mengekeh apabila melihat wajah Asyraf.

* * * * * * * * * * *

Comments

Most readers

cerpen 7 : KERANA C.I.N.T.A

cerpen 2 : I LOVE YOU, JOM BERCINTA