Cerpen 19 : Puisi Cinta

Setitik air mataku jatuh membasahi pipi sebaik saja aku dijerkah oleh suara garau lelaki itu. Lelaki yang bagi aku hanya seorang sahabat.

“Beb, tolonglah faham. Tak mungkin aku batalkan pertunangan aku lagi hanya sebab kau,”lirih aku bersuara dalam tangisan yang perlahan. Tepat anak mata lelaki itu menikam wajahku. Aku hanya mampu menundukkan kepala, takut untuk berlawan mata.

“Aku tak kira ! Walau seribu kali sekalipun, aku tetap tak izinkan kau bertunang apatah berkahwin dengan lelaki lain !”garau suara itu memecahkan hening petang di Tasik Titiwangsa itu. Mujur saja kedudukan kami agak jauh daripada pandangan orang.

“Tapi kenapa ? Ibu dengan abah aku dah bising dah. Tolonglah jangan ‘ikat’ aku lagi. Aku dah tak sanggup !”rayuku lagi. Aku lihat lelaki itu meraup wajahnya kasar. Wajahnya keruh, sarat dengan amarah.

Sebenarnya aku sendiri keliru dengan tingkahnya yang tidak pernah membenarkan aku bersama dengan lelaki lain. Sedangkan pada hakikatnya kami tidak pernah mempunyai hubungan yang lebih daripada seorang kawan. Aku akui kami memang rapat namun tidak sampai mempunyai apa-apa hubungan. Lagipula lelaki itu sendiri sudah punya kekasih hati. Aku tidak pernah marah malah aku sentiasa membantu mereka andainya hubungan mereka mempunyai masalah.

“Aku... aku tak boleh terima kau dengan orang lain. Aku takut kehilangan kau,”ucap lelaki itu perlahan lalu menghadap kearahku. Aku hanya terdiam seketika sebelum menarik nafas dalam.
“Aku takkan pernah menghilangkan diri daripada kau. Kau tetap sahabat aku...”

“Tak ! Tak sama. Aku tak nak kau bersama dengan lelaki lain. Kau dah lupa ke yang hidup aku kacau kalau kau tak ada,”suara lelaki itu sudah kembali keras. Aku hanya mampu membuang pandang ke arah tasik yang menghijau.

“Aku yakin kau boleh. Lagipun Sarah Amalina boleh ganti tempat aku, malah dia lebih istimewa daripada aku. Tolonglah lepaskan aku. Jangan buat aku macam ni,”ucapku memohon simpati daripada lelaki itu.

“Sarah Amalina ? Dia memang istimewa di hati aku, tapi kau pun tetap istimewa di hati aku. Entah lah, jujur aku kata, aku tak mahu hilang kau dan Sarah Amalina. Aku tak sanggup !”aku terkedu seketika. Kaku tanpa bicara setelah mendengar luahan lelaki itu.

“Maafkan aku. Bagi aku, kau hanya sahabat. Aku tak mahu merosakkan hubungan kau dan Sarah Amalina. Apa pun, kali ni aku nekad dengan keputusan aku. Kalau kau sahabat aku, kau akan datang majlis pertunangan aku nanti. Terima kasih sebab letakkan aku di tempat istimewa dalam hati kau. Assalamualaikum,”bersama ucapan itu aku berpaling pergi. Air mata yang mengalir aku sapu lesu. Ya Allah, mengapa baru kini dia akui tentang perasaannya ? Mengapa tidak dahulu ? Walau sebenarnya aku juga mempunyai perasaan padanya namun tidak mungkin untuk aku memilihnya. Memilihnya bererti aku akan memusnahkan hubungannya dengan Sarah Amalina, memilihnya bererti aku akan melukakan hati bakal tunanganku walau rasa sayang untuk dia tidak pernah ada.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Sudah beberapa jam aku sah menjadi tunang orang, namun kelibat ‘sahabat’ aku itu masih tidak kelihatan. Sesekali aku mengeluh hampa. Mengapa dia tidak boleh menerima hakikat bahawa aku dan dia tidak berjodoh ? Cukuplah Sarah Amalina dalam hidupnya mengapa masih hendak mengikatku untuk bersamanya. Meski aku juga punya perasaan padanya namun untuk hidup bersamanya adalah mustahil kerana aku sudah mempunyai kehidupan tersendiri dan dia juga begitu.

“Maira Natrah, kenapa mengeluh ni ?”soal Mak Long yang kebetulan melintasiku. Aku hanya tersenyum lalu menggeleng.

“Tak ada apa Mak Long, penat sikit. Panas sangat hari ni,”bohongku cuba menutup kegusaran di hati. Mak Long hanya mengangguk sebelum berlalu pergi. Aku hanya memandang sepi langkah kakinya itu. Jiwa ini masih terasa kosong meski jariku sudah dihiasi dengan sebentuk cincin yang menandakan aku milik orang.

“Kak, abang Haris Zafril tunggu dekat depan,”tiba-tiba saja seorang anak kecil yang juga merangkap adik sepupuku menarik bajuku lalu menunjuk ke ruang bawah. Haris Zafril ? Akhirnya lelaki itu datang jua. Laju langkah ku atur ke tingkat bawah dan mula menghampiri Haris Zafril. Aku lihat daripada jauh, dia sedang duduk di atas buaian yang terletak di anjung rumahku. Wajahnya masih keruh, sama seperti aku bertemu dengannya tempoh hari.

“Assalamualaikum beb, terima kasih sebab kau datang juga,”sapaku lalu menghadiahkan sekuntum senyuman manis buatnya. Haris Zafril masih kaku memandangku. Pandangannya sarat dengan pelbagai perasaan yang aku sendiri tidak mampu tafsirkan.

“Waalaikumussalam. Cantik kau hari ni,”balas Haris Zafril perlahan. Aku hanya ketawa kecil tidak seperti selalu. Mungkin kekok apabila ramai yang berada di rumahku.

“Aku memang cantik pun, kau dah makan ? Kalau belum, meh aku temankan,”selorohku cuba mengembalikan suasana ceria seperti dahulu. Haris Zafril menggeleng pantas.

“Aku dah nak balik dah. Saja nak jumpa kau sekejap sebelum balik, takut nanti dah tak jumpa lagi,”ucap Haris Zafril perlahan. Aku terkedu seketika.

“Err, apa maksud kau ? Kita tetap kawankan ?”soalku dalam gugup. Mengapa Haris Zafril berkata begitu ? Ayatnya membuatku penasaran. Apakah dia ingin meninggalkan aku ?

“Ya, kau tetap kawan aku. Kawan paling istimewa untuk aku sampai akhir hayat aku. Apa-apa pun, tahniah. Semoga kau bahagia bersama dia. Aku harap kau tak akan pernah lupakan aku walaupun kau dah ada dia,”lirih suara itu berbicara. Aku menelan liur kesat. Tanpa sedar air mata menitis perlahan. Entah mengapa aku begitu cengeng saat itu. Tetapi ayat lelaki itu begitu menyentuh hatiku. Mana mungkin aku lupakan dia malah dia tetap dalam ingatan aku, seorang sahabat yang sentiasa bersama aku di kala susah dan senang.

“Jangan cakap macam tu, kau tetap dalam hati aku walaupun aku dah berkahwin sebab kau satu-satunya sahabat aku dunia akhirat. Aku harap persahabatan kita tak akan terjejas dan terputus ye. Janji dengan aku ye,”pintaku tegas. Haris Zafril hanya tersenyum hambar sebelum meminta diri untuk berlalu pergi. Aku menghantar pemergiannya dengan sisa air mata. Entah mengapa ayatnya masih melekat kukuh di minda membuatkan aku jadi serba tidak kena.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Awal pagi itu, aku bangun sedikit awal. Entah mengapa rasa hati aku kurang enak. Haris Zafril kian menyepikan diri sejak daripada majlis pertunanganku tempoh hari. Dia seolah sengaja menghilangkan diri. Aku terasa. Sangat terasa dengan perubahannya. Chat aku juga tidak dibalasnya.

“Maira Natrah, hari ni kerja tak ?”soal ibu sebaik ternampak kelibatku di dapur. Aku hanya berdehem. Fikiranku masih sarat mengingati Haris Zafril.

“Maira Natrah kenapa ? Tak sihat ke ?”soal ibu lagi lalu mendemah dahiku. Aku hanya menggeleng perlahan.

“Tak lah bu, orang sihat. Tapi entahlah, mungkin perasaan orang je. Tak apalah, orang pergi kerja dulu ye. Takut jalan jem pulak nanti,”balasku lalu meminta diri. Tangan ibu aku cium lembut. Ibu hanya mengusap perlahan kepalaku.

‘Ibu, andai saja kau mengerti gelojak hatiku, apakah kau mahu memberi aku keizinan untuk memutuskan pertunangan ini hanya untuk sebuah hubungan persahabatan yang kian rapuh,’bisik hatiku dan mula melangkah ke kereta.

“Maira Natrah... kalau kau rasa terbeban dengan semua ni, ibu izinkan kau buat keputusan sendiri. Ibu akur andai itu permintaan kau,”ujar ibu di muka pintu seolah dapat menebak rasa hatiku. Aku terkelu. Mataku tepat memandang ibu.

“Apa... apa maksud ibu ?”soalku cuba menutup getar di hati. Perlahan ibu menghampiriku.

“Ibu paham, kau tersepit antara kehendak ibu dan hubungan persahabatan kau yang kian renggang. Kau buat lah keputusan sama ada nak teruskan pertunangan ini dan kau hilang seorang sahabat atau kau putuskan pertunangan ini. Ibu terima keputusan kau,”balas ibu panjang. Aku termenung seketika. Sungguh aku berada di persimpangan. Entah, aku tidak dapat membuat keputusan yang sewajarnya. Akhirnya aku melangkah masuk ke dalam kereta lalu berpamitan dengan ibu sebelum berlalu pergi. Ya Allah, aku mohon petunjuk dari-MU agar aku dapat leraikan kekusutan yang melanda hati ini.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Sudah berkali aku menghubungi nombor telefon bimbit Haris Zafril, namun masih tidak berjawab. Ke manakah dia ? Mengapa dia menghilangkan diri ? Tidak rindukah dia padaku ? Aku hanya mampu menopang dagu di atas meja sambil melepaskan keluhan berat. Sehelai kertas bersaiz A4 beserta sebatang pen biru aku capai dan aku mula meleretkan hujung mata pen di atas kertas itu. Cuba bermain dengan imaginasi.

Masih terasa segar memori bersama,
Masih terasa panas jemari dielus,
Masih terasa kau berada disisi,
Tetapi bila aku sedar dari imaginasi,
Aku merintih kerna ia bukan realiti.

Mana kau pergi membawa kaki,
Tidakkah aku menjadi kerinduanmu,
Berapa lama lagi hendak kau sembunyi,
Hentikan permainan sampai di sini,
Aku sudah nekad dengan kata hati,
Di hati ini dirimu aku temui.

Aku mengeluh bosan setelah berulang kali membaca bait kata yang tercoret di atas kertas putih itu. Aku sendiri tidak tahu apa yang aku cuba sampaikan melalui kata-kata itu. Dan buat kesekian kali aku mengeluh lagi.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Aku terjelepuk jatuh saat ibu membawakan khabar berita mengenai kemalangan yang melibatkan Haris Zafril dan Sarah Amalina. Ya Allah, dugaan apakah lagi ini ?

“Maira Natrah, bangun sayang...”pujuk ibu lalu menepuk bahuku, cuba menghulurkan kekuatan. Dengan sisa kudrat, aku bangun daripada duduk dan mula melangkah ke dalam kamar. Di fikiranku hanya ada Haris Zafril dan Sarah Amalina. Aku ingin melawat mereka.

“Ibu... teman Maira Natrah ke hospital...”lemah suaraku. Aku lihat ibu menganggukkan kepala.
Aku turun semula ke tingkat bawah setelah selesai memakai tudung. Ibu sudah sedia menantiku di muka pintu. Tanpa menunggu lama, aku terus masuk ke dalam perut kereta bersama ibu dan kemudian terus memecut menuju ke hospital di mana Sarah Amalina dan Haris Zafril ditempatkan.

‘Haris Zafril, Sarah Amalina tolong kuat ! Tolong jangan menyerah kalah!’ bisik hatiku sambil mulutku sibuk berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua temanku. Ibu disisi tidak aku hiraukan, mungkin kerana aku begitu fikirkan tentang sahabatku itu.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, akhirnya kami tiba di hospital yang menempatkan kedua-dua orang sahabatku itu. Tanpa berlengah aku segera membuka pintu kereta, namun tidak ku duga ibu menarik tanganku. Pantas aku berpaling menghadap ibu.

“Maira Natrah, walau apa yang terjadi, Maira Natrah harus kuat. Jangan tunjukkan kesedihan di hadapan mereka ya sayang,”pujuk ibu lalu tersenyum hambar. Aku terdiam seketika sebelum mengangguk. Jemari ibu aku genggam. Ya, aku harus kuat ! Jangan tunjukkan emosi sendiri, takut mereka kian rapuh lalu menyerah kalah. Tidak ! Aku tak akan biarkan itu terjadi.

Setiba saja di ruang kecemasan, aku lihat keluarga Haris Zafril dan Sarah Amalina sudah sedia menanti bersama juraian air mata. Aku juga ingin menangis saat memandang mereka, namun aku tahan segera setelah mengingati pesanan ibu.

“Pak cik, macam mana dengan Haris Zafril dan Sarah Amalina ?”soalku sebaik aku mendapatkan bapa Haris Zafril. Jelas sugul wajahnya tika itu. Matanya sembab memandang ke arahku. Aku teguk liur kerana aku dapat rasakan sesuatu yang lebih buruk telah berlaku.

“Sarah dah tak ada. Haris pula kritikal. Doktor cakap, dia kemungkinan lumpuh separuh badan...”hanya itu yang mampu aku cerna ke dalam fikiran sebelum aku terasa seolah kosong duniaku. Ya Allah, berat sekali dugaan-MU buat sahabatku ini.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Hari ini genap sebulan Sarah Amalina meninggalkan dunia ini. Terkilan aku kerana tidak dapat bertemu gadis itu buat kali terakhir. Haris Zafril pula sudah seminggu sedarkan diri. Aku bersyukur kerana akhirnya dia membuka mata walaupun separuh daripada anggota tubuhnya tidak mampu bergerak.

Namun, apa yang mengganggu emosiku apabila Haris Zafril seolah menjauhkan diri daripadaku. Dia seolah tidak sudi memandang ke arahku sekiranya aku datang melawat. Apakah dia masih marah dengan pertunanganku atau mungkin dia masih tidak dapat melupakan Sarah Amalina. Entah, aku sendiri tidak punya jawapan.

“Haris Zafril, hari ini aku bawakan kau bubur special. Aku yang buat untuk kau tau. Kau makan ye. Dari pagi tadi kau tak makan lagi kan ?”ucapku lalu meletakkan semangkuk bubur di hadapan wajah Haris Zafril. Aku lihat Haris Zafril terus berpaling.

“Haris Zafril, please jangan macam ni. Kalau kau sakit nanti siapa nak teman aku jalan-jalan ? Kau kan kawan aku. Hah, apa kata kalau aku suap kau. Meh sini meh,”pujukku seperti memujuk anak kecil yang sedang merajuk kerana tidak mendapat barang permainan. Benar apa yang aku pelajari, kita harus melayan pesakit secara psikologi baru mereka ikut cakap kita.

Tanpa sedar, Haris Zafril mendekatkan dirinya dengan diriku. Aku hanya tersenyum. Pantas aku menyudukan bubur nasi lalu aku tiup perlahan sebelum aku suapkan ke dalam mulut Haris Zafril. Manja sungguh kawan aku ni.

Sesuap, dua suap dan akhirnya hampir separuh habis bubur itu. Sedang aku sibuk melayan keletah Haris Zafril yang tidak ubah seperti anak kecil itu, telefon genggamku berbunyi nyaring. Segera aku letakkan kembali mangkuk bubur di atas meja dan mengangkat panggilan telefon daripada Zarith Afiq, tunang tidak jadiku.

“Assalamualaikum Zarith Afiq...”salam aku beri setelah aku mengangkat panggilan. Pandangan mataku dan Haris Zafril bertaut. Jelas riak kurang senang terpamer di wajah Haris Zafril. Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, segera aku meminta diri seketika. Aku tahu Haris Zafril marah, namun tidak diluahkan. Cukup sahaja dengan isyarat matanya.

Lima minit kemudian aku kembali ke katil Haris Zafril. Aku lihat dia sedang memejamkan mata erat. Aku hanya memandang dan mengemas kembali mangkuk dan cawan yang digunakan tadi.

“Haris Zafril, kau nak apa-apa lagi ?”soalku. Haris Zafril membuka mata, memandang aku tepat dan tiba-tiba dia menghulur sehelai kertas. Setelah aku sambut kertas itu, dia kembali memejamkan mata. Aku termangu.

Maaf sebab susahkan kau. Lepas ni kau dah tak perlu datang melwat aku. Aku tahu aku bukan siapa-siapa untuk kau. Jadi tiada guna kau datang bantu aku. Aku boleh uruskan hidup aku sendiri. Lagipun daripada kau melawat aku yang cacat ni, lebih baik kau bertemu dengan tunang kau. Apa pun, terima kasih untuk selama ni. Assalamualaikum.

Aku terkedu tanpa kata. Apa maksud Haris Zafril ? Siapa yang menyusahkan aku ?Aku yang dengan rela hati datang melawatnya. Ingin aku menghamburkan ketidak puasan hatiku, namun apabila kau melihat mata Haris Zafril yang terpejam, aku terus mematikan niat.

Aku tidak pernah rasa kau menyusahkan aku. Kau satu-satunya sahabat yang aku ada. Walau apa pun yang berlaku, aku tetap di samping kau. Aku tidak pernah kisah tentang perubahan fizikal kau sebab bagi aku, kau tetap sempurna. Tak apalah, kau berehatlah dulu. Esok aku datang lagi ye. Oh ya, jangan lupa makan ubat. Jangan skip ! Anyway, aku sentiasa doakan kesejahteraan kau. Waalaikumussalam.

Setelah siap meletakkan kertas itu di meja sisi Haris Zafril, terus aku mencapai beg tanganku. Rambut Haris Zafril aku usap sekali sebelum berlalu pergi. Sungguh baru aku mengerti rasa hati ini.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Seperti yang aku janjikan bersama Zarith Afiq di corong telefon sebentar tadi, akhirnya kini aku dan dia bersua muka. Buat pertama kalinya aku bertemu dengan bekas tunanganku itu. Sepanjang kami bertunang kami tidak pernah waima sekali pun bertemu apatah lagi bertentang mata.

“Assalamualaikum Maira Natrah,”sapa Zarith Afiq lembut. Aku menghadiahkan sekuntum senyuman sebelum menjawab salamnya.

“Ada apa awak nak jumpa saya ye ?”soalku setelah agak lama mendiamkan diri. Aku lihat Zarith Afiq sedikit cemas. Tetapi tidak pula tergerak di hatiku untuk bertanya.

“Sebenarnya, saya nak ucap terima kasih,”pendek bicara Zarith Afiq membuatkan keningku bertaut. Aku tidak mengerti untuk apa ucapan terima kasihnya itu.

“Terima kasih sebab putuskan pertunangan ini. Sebenarnya, saya sudah ada pilihan sendiri tapi takut untuk bertindak. Saya amat berhutang budi dengan awak,”ujar Zarith Afiq lagi lalu memandang wajahku. Aku hanya membekukan diri. Malu dipandang oleh lelaki itu.

“Oh, sebab tu. Tak ada apa yang perlu awak berterima kasih. Lagipun saya buat keputusan begitu sebab saya baru sedar rasa hati saya. Apa-apa pun, anggap saja kita memang ditakdirkan untuk berkawan saja,”ucapku lalu tersenyum mesra. Cuba membina sebuah ikatan persahabatan dengan lelaki itu. Mungkin sudah menjadi sebahagian daripada hidupku untuk terus mencari teman, jadi tanpa kekok aku menghulurkan salam persahabatan.

“Yeah ! Why not kita berkawan. By the way, lets start it back. Hai, saya Zarith Afiq !”ceria saja suara Zarith Afiq sambil ketawa kecil. Aku turut sama tertawa.

“Hai, saya Maira Natrah ! So, berapa umur awak ?”

“Hmm... for sure belum tua sangat. Just sweet 26 and you ?”seloroh Zarith Afiq sehingga membuatkan aku tertawa kecil.

“Of course younger than you, 24...”dan bermulalah sesi suai kenal kami pada petang itu. Sungguh aku gembira mendapat kawan baru seperti Zarith Afiq. Tiada lagi rasa kekok menghantui perbualan kami, malah kami begitu akrab seolah kawan yang sudah lama mengenali.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Jangan mencintai aku laksana mentari,
Kerna ada masa ia akan pergi,
Jangan menyayangi aku seperti bebunga,
Kerna ada saat ia akan layu,
Tapi kasihlah aku seperti ombak,
Setia menemani pantai tanpa jemu.

Sesampai saja aku di wad yang menempatkan Haris Zafril, tiba-tiba saja seorang anak kecil menghmpiriku dan menghulurkan sehelai kertas yang telah tercoret kata-kata indah. Aku memandang anak kecil itu sambil tersenyum.

“Siapa bagi ni adik ?”soalku ramah. Anak kecil itu terus menunding jari ke arah katil Haris Zafril. Aku lihat Haris Zafril sedang memandang tepat ke arahku sehingga aku terkaku seketika.

“Terima kasih,”ucapku pada anak kecil itu sebelum dia berlalu pergi. Aku kemudian mula mengorak langkah menuju ke arah Haris Zafril yang sedang terbaring. Tiada senyuman di wajah itu. Lalu aku menggapai sebatang pen yang berada di sisinya sebelum aku meloretkan kata-kata di belakang kertas yang diberi oleh anak kecil sebentar tadi.

Tidak aku mencintaimu seperti mentari,
Kerna aku takut panas membakar diri,
Untuk apa mencintaimu seperti bebunga,
Aku tahu ia tidak kekal lama,
Tidak mungkin aku mengasihimu seperti ombak,
Yang akan pergi silih berganti,
Tetapi aku ingin menjadi awan,
Melindungimu daripada kepanasan,
Aku ingin menjadi air,
Menghalang dirimu menjadi kelayuan,
Dan inginku menjadi pepasir pantai,
Tetap menemanimu walau dihempas badai.

Usai meluahkan apa yang tersimpan di dasar hati, kertas itu aku hulurkan kembali kepada Haris Zafril. Haris Zafril ku lihat teragak-agak untuk mengambilnya. Lama anak matanya tertunak di wajahku sebelum dia mula membaca bait kataku. Aku pula tanpa menunggu lama terus berpaling pergi. Malu untuk aku bertatapan dengan lelaki itu setelah aku luahkan kata hatiku.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Hari ini merupakan hari yang amat berbahagia buat Haris Zafril, setelah hampir dua bulan menjadi penghuni KPJ Tawakkal Specialist Hospital itu, akhirnya dia dibenarkan pulang. Aku yang mendapat tahu berita itu telah memohon cuti terlebih awal. Aku ingin menjemput dan menghantar lelaki itu pulang ke rumahnya.

“Maira Natrah nak ambil Haris Zafril ke ?”soal ibu sebaik aku melintasi ruang tamu. Segera aku mengiyakan soalan ibu.

“Oh yela. Hati-hati bawa kereta tu,”pesan ibu. Segera aku mendapatkannya lalu tangannya ku cium. Ibu hanya tersenyum.

‘Ibu, aku yakin kau pasti mengetahui apa yang telah bersarang di hati kecilku ini. Aku mohon kau restui,’bisik hatiku sebelum memandu menuju ke hospital yang menempatkan Haris Zafril.

Sebaik saja tiba di hospital itu, aku lihat Haris Zafril sudah bersama dengan keluarganya. Mungkin sedang menanti kenderaan pulang. Haris Zafril hanya duduk di kerusi roda. Ya, dia lumpuh. Tetapi kecacatan fizikal itu tidak pernah melunturkan rasa sayangku padanya.

“Assalamualaikum, dah nak balik ke ?”sapaku sebaik aku menghampiri keluarga lelaki itu. Tangan tua ibunya aku kucup lembut.

“Waalaikumussalam Natrah. Dah nak gerak balik dah. Marilah ke rumah mak cik. Boleh jugak temankan Haris,”pelawa ibu Haris Zafril ramah. Haris Zafril pula hanya  membeku, memandang wajahku tepat seolah kurang senang dengan kehadiranku.

“Err, tak apalah mak cik. Natrah...”

“Eh sebelum mak cik terlupa, ni Zara Awadilia. Adik arwah Sarah Amalina,”ibu Haris Zafril memperkenalkan aku dengan gadis comel yang setia menolak kerusi roda Haris Zafril. Aku hanya tersenyum kelat pada gadis itu. Entah mengapa aku iri hati dengan gadis comel itu, lebih-lebih lagi apabila aku lihat Haris Zafril berbual dengannya. Kenapa Haris Zafril tidak pernah berbual denganku tetapi dengan gadis itu, laju saja mulutnya meluah kata. Selama aku menjenguknya dia hospital, tidak pernah waima sepatah pun dia berbual denganku. Hanya kertas dan pena menjadi pengantara. Begitu bencikah dirinya terhadapku ?

“Maira Natrah...”aku tersedar daripada lamunan apabila suara ibu Haris Zafril menyapa gegendang. Segera aku menghulurkan senyum kepada wanita itu.

“Err, Natrah pergi dulu ye mak cik. Assalamualaikum,”tanpa memandang ke arah Haris Zafril aku terus mengorak langkah. Pasti lelaki itu tidak sedikitpun menghiraukan kepergianku jadi untuk apa aku memandangnya lagi.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Andai cinta itu dapat dipegang,
Akan ku simpannya ke dalam gelas,
Biar kau nampak betapa banyaknya,
Biar kau lihat betapa penuhnya,
Tetapi sayang ia sekadar halusinasi.

Aku renyuk kertas yang telah aku coretkan kata-kata di atasnya itu lalu aku campak ke bawah meja. Air mata sudah sedia mengalir, seperti hujan lebat yang sukar berhenti. Entah mengapa hatiku begitu sakit melihat kemesraan antara Haris Zafril dan Zara Awadilia walau tiada secalit senyuman di wajah Haris Zafril.

“Haris Zafril, kenapa aku boleh menyayangi kau ? Aku bodohkan sebab mencintai kau ? Ha ha ha,”aku gelak sendiri mengenang nasib diri. Entah mengapa aku rasa jijik dengan perasaan aku kini. Aku jijik kerana aku menangisi seorang lelaki. Ini bukan aku !

“Aku wonder lah, kau ni macam tak ada perasaan. Masa marah kau gelak, masa gelak memanglah kau gelak. Nak tengok kau nangis punyalah payah. Apa ilmu kau pakai hah ?”soal Haris Zafril suatu tika dahulu. Saat itu aku dan Haris Zafril sedang melepak di Tasik Titiwangsa, menghirup udara petang.

“Ilmu kasih sayang,”jawabku sambil tersenyum meleret. Haris Zafril di sebelah sudah bertaut kening. Segera dia memandang ke arahku.

“Ilmu apa tu ? Cuba terangkan sikit,”

“Maksud aku, cuba kau letakkan kasih sayang dalam setiap apa yang kau lakukan. Contohnya, kau nak ambil sampah ni, kau letakkan kasih sayang kau pada alam sekitar pasti rasa kau rasa senang lakukannya,”ujarku dalam senyuman lalu sampah yang aku kutip sebentar tadi aku buang ke dalam tong sampah berdekatan. Aku lihat wajah Haris Zafril makin berkerut. Masih tidak dapat mengerti kata-kataku.

“Macam ni lah. Hmm, kau sayang aku tak ?”soalku sambil mengangkat sebelah kening.

“Of course lah, kalau tak dah lama aku campak kau dalam tasik tu. Cakap berbelit sampai aku bengong,”ujar Haris Zafril dalam nada geram. Aku hanya ketawa mengekek.

“Nampaknya kau dah guna ilmu kasih sayang. Kalau kau tak sayang aku, mesti kau dah rendam aku dalam tasik tu kan ? Tapi sebab kau sayang aku, kau tahan. Sama jugak kalau kau marah kan seseorang, cuba kau letakkan kasih sayang kau pada dia pasti kau tak jadi nak marah,”ucapku lalu menepuk bahu Haris Zafril perlahan.

“Okay aku faham. Maksud kau, walau apa sekalipun masalah datang, letakkan kasih sayang dalam masalah tu barulah kita akan sentiasa ceria...”err, okay ! Mungkin boleh diterima kata-kata lelaki itu. Aku hanya mengiakan. Malas nak terangkan lagi.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Aku baru saja terima pesanan daripada Zarith Afiq, katanya dia ingin datang ke rumah petang ini kerana ada hal yang ingin dia sampaikan. Aku yang kebetulan cuti, terus ke ruang tamu di bawah untuk memaklumkan kehadiran Zarith Afiq kepada ibu.

“Ibu, petang ni Zarith Afiq nak datang rumah,”ujarku pada ibu yang sedang menonton Sinetron Sinar. Ibu terus memanggung kepala memandang ke arahku. Dahinya berkerut seribu.

“Zarith Afiq ? Zarith Afiq mana ? Ibu tak pernah kenal pula kawan kau nama Zarith Afiq,”ujar ibu lalu memandangku tepat. Terus aku mengambil tempat di sisi ibu sambil tersenyum.

“Zarith Afiq, bekas tunang orang tu lah,”jawabku sambil tersenyum mesra. Aku lihat ibu semakin bingung.

“Zarith Afiq yang kau tunang hari tu ke ? Kau masih dengan dia ke ?”soal ibu lagi. Aku hanya ketawa mengekek. Ibu sudah salah faham akan hubungan sebenar kami.

“Hish, tak ada lah ibu. Kami berkawan je. So, ibu tak nak masak apa-apa ke untuk kawan orang ?”soalku kembali. Malas nak memanjangkan isu Zarith Afiq. Aku lihat ibu terdiam seketika. Kemudian dia menepuk peha ku.

“Sekejap lagi kau pergi lah kedai beli bahan buat mee sup. Beli lebih, nanti boleh kau hantar ke rumah Haris Zafril sikit,”pinta ibu. Aku hanya mengangguk tanpa bantahan. Tetapi untuk menghantarnya ke rumah Haris Zafril, aku tidak pasti kerana hatiku masih terasa dengan perlakuan lelaki itu bersama Zara Awadilia.

Tepat jam 5.30 petang, Zarith Afiq tiba di hadapan rumahku. Aku menyambut kedatangannya riang. Segera aku mempelawanya masuk. Namun, sedang aku tersenyum riang aku lihat seorang gadis turut mengekori Zarith Afiq daripada belakang. Aku amati wajahnya, gadis itu hanya tersenyum memandangku. Aku berkerut seribu.

“Eh Maira Natrah, ajaklah tetamunya masuk. Hish kamu ni !”suara ibu menyentakkan lamunan ku. Segera aku kembali ke realiti. Bersama seulas senyum di bibir, aku mempersila mereka masuk.

“Hai Maira Natrah ! Sihat ?”sapa Zarith Afiq sebaik dia melangkah masuk ke dalam rumah. Aku hanya mengangguk.

“Oh lupa nak kenalkan, ni Zara Awadilia, bakal isteri saya,”Zarith Afiq memperkenalkan pula gadis yang sedari tadi menjadi tumpuanku. Zara Awadilia ? Benarkah semua ni ?

“Awak ni Zara Awadilia adik arwah Sarah Amalina ke ?”soalku dengan kerutan di dahi. Gadis itu tersenyum manis.

“Ye saya. Saya juga lah yang awak jumpa tadi pagi di hospital bersama Haris Zafril,”akui gadis itu. Aku pula menarik nafas panjang. Tidak tahu reaksi apa hendak aku lukiskan di wajah.

“Eh, sebelum apa-apa marilah makan dulu. Mak cik dah siap hidang ni,”ibu yang baru saja muncul daripada dapur terus riuh bersuara mengajak Zara Awadilia dan Zarith Afiq menjamu selera. Segera Zarith Afiq bangkit daripada duduk dan berjalan ke arah ibu.

“Awak jangan risau. Saya dan Haris Zafril tak ada apa-apa. Kami sekadar kawan dan dia bakal sepupu saya,”ujar Zara Awadilia masih bersama senyuman. Aku pula termangu.

“Bakal sepupu ?”

“Zarith Afiq dan Haris Zafril adalah sepupu,”bersama kata-kata itu, Zara Awadilia bangkit mengikut langkah Zarith Afiq ke meja makan. Aku hanya terkebil-kebil sebelum namaku diseru ibu.

‘Maknanya Haris Zafril tahu yang aku ni dulu bertunang dengan sepupu dia ? Tapi kenapa dia halang ? Adakah dia cemburu ? Argh , gila ! Ini semua gila !’aku bermonolog sendiri sambil menuju ke ruang makan.

-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-,-

Aku berbaju kebaya ungu menghadiri jemputan kahwin Zara Awadilia dan Zarith Afiq. Rupanya tempoh hari mereka datang ke rumah untuk menyampaikan berita bahagia sekali gus menjemput aku sekeluarga ke majlis perkahwinan mereka. Sungguh tidak aku sangka, wanita yang aku duga punya hubungan dengan Haris Zafril rupanya bernikah dengan Zarith Afiq.

Dari kejauhan aku lihat pasangan mempelai itu sedang tersenyum bahagia di atas pelamin indah. Berhiaskan latar berwarna hijau disulam dengan warna emas dan turut diletakkan bebunga indah menyerlahkan lagi seri pelamin itu. Sekali pandang seolah mereka berada di taman menghijau. Sungguh aku tertarik dengan konsep pelamin itu.

“Maira Natrah,”sapa satu suara saat aku ralit memerhatikan pasangan mempelai di singgahsana indah itu. Segera aku berpaling ke sisi. Haris Zafril ?

“Haris Zafril ? Kau... kau dah tak guna kerusi roda ?”soalku gagap. Anak mataku tertunak di wajah lelaki itu. Lelaki itu hanya tersenyum bangga.

“Aku rimas lah duduk dekat kerusi roda. Lagipun, aku nak juga merasa guna tongkat ni. Tapi, ada macam gaya atuk-atuk tak ?”seloroh Haris Zafril sambil ketawa. Aku turut ketawa kecil lalu aku bantu lelaki itu duduk di atas kerusi yang disediakan.

“Aah, sama sebijik ! Cuma kau ni atuk tak ada cucu,”giatku pula. Haris Zafril ketawa berdekah sehingga menarik perhatian beberapa orang tetamu lain. Segera aku jengilkan mata lalu memberi isyarat supaya kawal suara.

“Tak payah nak gelak over sangat ek ! Cepuk kang. Semua tengok sini tau,”bebelku lalu menarik muncung. Haris Zafril tiba-tiba saja mencubit pipi tembamku dan segera aku tepis. Sekali lagi dia ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang lucu, aku sendiri tidak tahu.

“Merajuk ke ? Macam budak kecik ! Macam mana nak jadi nenek ni ?”gurau Haris Zafril. Aku segera menjeling geram. Aku muda lagi, dia cakap aku nak jadi nenek ? Kahwin pun belum.

“Nenek ? Aku muda lagi lah ! Kahwin pun belum, anak pun tak ada mana nak datang neneknya ?”soalku masih tidak berpuas hati.

“Hah ! Sebab tu lah aku nak ajak kau kahwin ni. Nanti dah kahwin dapat lah anak. Bila anak kita dah besar, dah kahwin kita dapatlah cucu. Masa tu kita jadi nenek dan atuk bersama-sama,”ujar Haris Zafril sebelum tersenyum meleret. Aku hanya mencebik.

“Tak nak layan kau punya gurauan tu ! Aku merajuk,”aku bersuara geram tanpa memandang Haris Zafril sedikitpun.

“Eh kau ni, ada aku cakap aku gurau ? Ini serious ! Aku nak kahwin dengan kau,”aku terkebil-kebil memandang Haris Zafril yang sudah bernada serius tanpa gurau. Perlahan liur aku teguk.

“Tak lawak okay !”

“Kau ingat ni Maharaja Lawak Mega nak lawak-lawak ?”

“Aku tak setuju !”

“Ada aku suruh kau setuju ?”

“Tapi yang nak nikah tu aku,”

“Ingat aku kisah ?”bersama kata-kata itu Haris Zafril bangkit daripada duduk. Aku pula sudah mengetap bibir menahan geram. Tak adil macam ni ! Belum jauh Haris Zafril pergi, aku terus bangun daripada duduk.

“Haris Zafril ! Aku tak setuju kau lamar aku. Kau dah lupa ke yang aku ni suka mengejar dan aku tak suka dikejar !”kuat suaraku di bawah kanopi itu. Semua tetamu seakan pegun memandangku. Aku tidak peduli semua mata yang memandang. Haris Zafril pula menghentikan langkah lalu berpaling menghadap aku. Keningnya di angkat sebelah seolah mencabar keegoanku. Nafas aku tarik panjang.

“Haris Zafril Zafril, sudi tak kau jadi suami aku ?!”kuat suaraku melamar Haris Zafril. Aku lihat Haris Zafril tersenyum meleret dan kemudian kembali kepadaku. Bahuku ditepuk-tepuk.

“Setiap kali aku memandangmu, Mulutku bisu tanpa bicara, Mataku terpegun terkena panahan cinta, Tubuhku kaku seakan tersihir, Namun aku rela diriku begitu, Kerna aku yakin hatiku telah kau dan aku telah bersatu. Aku cintakan kau Maira Maira Natrah. Aku akan menjadi suami kau sehingga nyawa terlerai dari badan,”ucap Haris Zafril lalu tersenyum senang. Semerta aku terdengar orang ramai bertepuk tangan seolah meraikan drama swasta antara aku dan Haris Zafril sebentar tadi. Senyuman bahagia mula bergayut di bibirku. Di mataku sudah terbayang sebuah pelamin indah dan aku duduk bersama Haris Zafril di situ.



p/s..

Alhamdulillah, akhirnya siap juga cerpen ‘Puisi Cinta’ ini. Maafkan MM kerana sudah lama menyepikan diri. Dan kali ini MM kembali dengan cerpen baru untuk pembaca setia bilatintadikarang.blogspot.com. ‘Puisi Cinta’ mengambil masa agak panjang berbanding cerpen sebelum ini. MM dapat ilham membuat cerpen ini semasa MM posting tempoh hari di KPJ Tawakkal Specialist Hospital. Dan nama watak Maira Natrah adalah ilham daripada sahabat MM sendiri iaitu Nurain Nasir dan juga Dayana Izyan.

Apa-apa kesilapan dalam cerpen ini, MM mohon maaf terlebih dahulu. Maklumlah, sudah lama MM tidak menulis, otak pun dah berkarat nak susun ayat. Hahaha. Maaf andai ada yang terkurang. MM harap kalian dapat menerima cerpen ‘Puisi Cinta’ ini. Mana yang baik ambil sebagai pengajaran dan apa yang kurang baik jadikan sempadan. Jika ada yang kalian kurang berkenan, boleh inform di ruang komen ya. Terima kasih kerana masih sudi membaca cerpen di blog MM ini.

Comments

Most readers

cerpen 7 : KERANA C.I.N.T.A

cerpen 2 : I LOVE YOU, JOM BERCINTA